SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG BERFIKIR KREATIF BERTINDAK AKTIF

Bimbingan dan kaunseling merupakan suatu alternatif untuk membantu, membimbing dan memberi panduan kepada individu untuk memperkembangkan potensi diri ke arah yang lebih baik. Mungkin ada antara anda semua yang mempunyai pengalaman menerima perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sama ada di sekolah atau di luar sekolah. Walaupun mungkin ada yang tidak pernah menerima perkhidmatan bimbingan dan kaunseling tetapi tentunya anda mempunyai idea dan pandangan sendiri berkaitan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Oleh itu, laman blog ini memberi ruang kepada anda untuk memberi respons, pandangan dan cadangan supaya perkhidmatan bimbingan dan kaunseling akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik bersesuaian dengan keperluan masa kini.

Corak dan gaya kehidupan remaja pada masa dahulu berbeza dengan corak dan gaya kehidupan remaja pada masa kini berdasarkan perubahan dan peredaran zaman. Perkembangan dan penggunanaan teknologi menjadikan permasalahan pelajar pada masa kini berbeza dengan permasalahan pelajar mada masa dahulu. Keadaan ini menjadikan bimbingan dan kaunseling sebagai satu keperluan yang penting untuk membimbing dan membantu golongan remaha terutama pelajar supaya mereka dapat mengenal dan menggunakan potensi diri ke arah yang positif.

Sejajar dengan itu, setiap sekolah telah menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling untuk para pelajar. Kini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bukan hanya disediakan di sekolah menengah sahaja malahan sekolah rendah juga telah mula menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada para pelajar. Pada dasarnya, tugas membimbing dan membantu para pelajar menjadi tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling namun sebenarnya guru-guru lain juga boleh memainkan peranan untuk sama-sama membantu dan membimbing para pelajar. Oleh itu, kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan masyarakt amat perlu supaya bimbingan dan kausneling dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Sunday, April 5, 2009


Siri Kedua


Saya anak lelaki berusia 16 tahun. Anak ketiga daripada lima orang adik-beradik. Apa yang saya rasakan sekarang adalah rasa tidak puas hati terhadap ibu dan bapa saya. Saya tak benci mereka tapi ada rasa terkilan sedikit. Sejak kecil saya rasa sering diketepikan. Kebetulan, saya ini agak hodoh berbanding adik-beradik lain dan lemah dalam pelajaran. Kadang kecil hati bila ayah selalu suruh saya ikut macam adik-beradik lain. Memang dia tak paksa tapi saya rasa macam diejek-ejek diri sendiri. Saya sebenarnya anak yang baik, tidak pernah bantah apa ibu bapa cakap tapi mereka tetap nak manjakan saya macam adik-beradik yang lain. Tapi akhir-akhir ni saya sering fikir masa depan saya. Saya rasakan macam ibu bapa tak adil dengan saya. Prejudis dengan saya. Saya tau cara saya salah tetapi orang lain tak ada di tempat saya. Untuk lepas geram, saya selalu dengki adik-adik saya. Walaupun saya tak ok belajar tapi dalam sukan saya memang terror. Kalau main bola kat padang saya suka sepak kaki adik saya tetapi paling bengang sekali bila balik ibu marah tapi yang penting saya puas. Adik je tempat saya boleh lepas geram. Abang dan kaka duduk asrama lagipun tak kan nak melawan mereka kan…



Individu Aktif Sebagai Individu Asertif

Berdasarkan topik yang telah dibincangakan sebelum ini, iaitu tentang isu Amir, seorang ketua pengawas yang agak sukar untuk menegur kesalahan rakan-rakannya. Sebenarnya apa yang Amir perlukan adalah sikap asertif iaitu sikap tegas diri. Sebagai ketua pengawas dan seorang pemimpin teratas di sekolahnya Amir perlu mempunyai ciri-ciri seorang yang tegas iaitu menjalankan tanggungjawab tanpa memilih bulu. di sini terdapat sedikit panduan yang boleh anda gunakan tentang apa itu asertif dan bagaimana ciri-ciri individu yang asertif.


INDIVIDU YANG ASERTIF

  • Menolak permintaan apabila permintaan itu bercanggah dengan prinsip diri sendiri.
  • Bergaul dengan orang lain tanpa dikongkong oleh perasaan malu dan risau yang keterlaluan.
  • Meminta penjelasan lanjut apabila tidak jelas.
  • Bertanya kenapa apabila ada perkara yang dirasakan tidak kena.

ASERTIF TERHADAP HAK DIRI SENDIRI SEBAGAI INDIVIDU


  • Hak menolak permintaan orang lain tanpa rasa bersalah atau pentingkan diri sendiri.
  • Hak melahirkan perasaan termasuk perasaan marah tanpa mengganggu hak orang lain.
  • Hak untuk bersaing dengan orang lain dan mencapai kejayaan tanpa menggunakan kesempatan atau kedudukan yang dapat menggugat kedudukan orang lain.
  • Hak untuk berehat, bersuka-suka atau berseronok.
  • Hak untuk memilih aktiviti yang memenuhi keperluan ataupun kehendak diri sendiri.
  • Hak memperoleh hak sendiri sama pentingnya dengan hak orang lain.
  • Hak untuk diterima sebagai individu yang mempunyai kebolehan.
  • Hak untuk melakukan kesilapan bukan kesalahan.
  • Hak untuk memberi pendapat dan pendapat itu diberi pertimbangan yang sewajarnya sama seperti pendapat orang lain.
  • Hak untuk berdikari dan cuba melakukan sesuatu dengan sendiri.
  • Hak untuk membuat keputusan sendiri.
  • Hak untuk memberi dan menerima sama ada dari segi material, kasih sayang. moral, penghormatan dan sebagainya.
  • Hak untuk mendapat maklumat daripada mana-mana profesional ataupun pihak yang berautoriti.
  • Hak sebagai individu di sisi perlembagaan negara.

Tuesday, March 24, 2009


Salam sejahtera kepada semua. Moga anda semua ceria dan sihat hari ini. Anda rasa adakah anda semua bijak dalam membuat keputusan atau keputusan anda semua berada di tangan orang lain? Satu kesilapan besar jika terus memberikan kuasa membuat keputusan tentang diri sendiri kepada orang lain kerana kita sepatutnya berkuasa kepada diri kita supaya kita dapat tentukan apa yang kita ingin jadi. Orang lain mungkin boleh beri kita cadangan ataupun berkongsi dengan kita bagaimana kita ingin jadi, seperti apa yang kita inginkan. Untuk anda menguji keupayaan anda membuat keputusan, apa kita sama-sama bantu kawan kita ini untuk membuat keputusan dengan apa yang sedang mereka lalui. Memangla apa yang mereka alami bukan masalah kita tapi paling tidak pun sebenarnya kita tentu dapat aktifkan pemikiran kita dan seterusnya cuba untuk menjana idea supaya dapat hasilkan suatu keputusan yang baik. Mana tahu apa yang kawan kita alami ini mungkin akan terjadi pada kita juga suatu hari nanti..

Apa Seterusnya.....

Siri Satu


Amir merupakan seorang pelajar yang telah dipilih untuk menjadi ketua pengawas. Amir memang merupakan pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik. Kawan-kawan Amir terdiri daripada pelajar dengan pelbagai personaliti. Dalam kata lain komunikasi interpersonal amir dengan rakan-rakan memang baik. Amir sama sekali tidak memilih untuk berkawan kerana prinsip dirinya ‘Berkawan untuk memperoleh kebaikan’. Walau bagaimanapun, Amir sedikit terganggu kerana sebagai ketua pengawas dia agak sukar untuk menegur kesilapan rakan-rakan. Amir takut jika dia dianggap sebagai pelajar dan ketua pengawas yang hipokrit. Amir mudah kalah apabila rakan-rakan rapat minta supaya denda bagi kesalahan yang mereka lakukan dikurangkan. Bagi pendapat anda adakah tindakan Amir itu bersesuaian dengan ciri kepimpinan sebagai pengawas? Bagaimana cara yang patut Amir lakukan supaya dia dapat berlaku adil kepada semua pelajar di sekolahnya?


Tuesday, March 10, 2009

Ada di antara pelajar atau individu yang mempunyai pandangan atau persepsi yang tertentu terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Ada pelajar yang menganggap bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah adalah untuk mereka yang bermasalah sahaja. Jesteru pelajar tidak berminat atau tidak suka untuk berkunjung ke bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling.

Sebenarnya banyak perkara yang boleh diperoleh daripada bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling. Selain daripada mendapatkan perkhidmatan sesi kaunseling secara inidividu atau pun kelompok daripada guru bimbingan dan kaunseling para pelajar khususnya dan para pengunjung amnya boleh mendapatkan perkhidmatan lain. Para pelajar boleh mendapatkan bimbingan kerjaya daripada guru bimbingan dan kaunseling. Dengan adanya kemudahan akses internet di sekolah pada masa sekarang, para pelajar boleh mendapatkan banyak maklumat di bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling berkaitan kerjaya. Selain itu para pelajar juga boleh mendapatkan perkhidmatan inventori kerjaya. Dengan bantuan dan bimbingan guru bimbingan dan kaunseling para pelajar boleh mengisi borang inventori seterusnya mendapat maklumat berkaitan kerjaya yang sesuai dengan diri. Di samping itu juga terdapat perkhidmatan inventori berkaitan personaliti. Hasil daripada inventori personaliti ini dapat memberikan kepada pelajar maklumat tentang diri dan personaliti masing-masing.

Dengan ini para pelajar dapat melihat kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri seterusnya dapat melihat bakat dan potensi diri yang ada. Maka, para pelajar dapat meningkatkan motivasi diri ke arah mempertingkatkan diri ke arah yang lebih baik. Setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Ada kalanya seseorang itu tidak sedar tentang perkara ini dan hanya memandang kepada kelemahan sahaja, sedangkan dalam diri kita mungkin ada kekuatan dan potensi yang tidak ada pada orang lain. Jika kita tahu kekuatan kita, kita dapat menilai dan menggembelingnya untuk memajukan diri kita ke arah yang lebih positif.

Para pelajar juga boleh mendapatkan bimbingan daripada guru bimbingan dan kaunseling berkaitan akademik. Bagaimana untuk memilih jurusan yang sesuai berdasarkan minat, bakat, personaliti dan minat kerjaya masing-masing. Ada di antara pelajar yang memilih aliran atau jurusan mereka dengan sebab-sebab tertentu seperti mengikut arahan daripada ibu bapa, mengikut rakan-rakan dan sebagainya. Oleh itu, dengan adanya bimbingan daripada guru bimbingan dan kaunseling, para pelajar dapat garis panduan yang bersesuaian untuk memilih hala tuju masa depan dengan memilih jurusan dan aliran yang sesuai berdasarkan minat, bakat, personaliti dan minat kerjaya masing-masing.

Ramai pelajar yang tidak tahu atau tidak mengambil endah tentang kaedah belajar yang sesuai dan betul. Dengan berkunjung ke bilik Unit Bimbingan dan kaunseling, para pelajar boleh mendapat panduan untuk belajar secara berkesan antaranya dari aspek, bagaimana mengurus masa, perlaksaaan jadual harian, kaedah belajar yang berkesan, membuat nota yang betul, mengurus diri dengan baik dan sebagainya. Kaedah belajar yang tepat dapat membantu para pelajar belajar secara efisyen atau pun 'study smart', seterusnya dapat membantu papa pelajar membuat persediaan peperiksaan dengan baik.

Jadi, di sini sedikit sebanyak anda boleh menilai sama ada bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah adalah untuk mereka yang bermasalah sahaja atau tidak. Bilik ini adalah untuk semua warga sekolah daripada peringkat atasan iaitu peringkat pengurusan sekolah, guru-guru sehinggalah para pelajar. Setiap warga sekolah boleh mendapatkan semua perkhidmatan yang disediakan dengan dantuan dan bimbingan daripada guru bimbingan dan kaunseling.

Tuesday, March 3, 2009

Kaunseling oh kaunseling...

Jika kita lihat hari ini, semua sekolah sudah mempunyai unit bimbingan dan kaunseling. Bukan sahaja di sekolah menengah, tetapi juga di sekolah rendah. Walaupun di sekolah rendah ada yang tidak mempunyai guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa, tetapi terdapat guru bimbingan yang akan memberi bimbingan kepada para pelajar dalam budang akademik, sosial, pembangunan diri, kerjaya dan sebagainya. Dalam kalangan anda tentu ada yang mempunyai pengalaman menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling atau pun terlibat dengan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Jadi jika anda mempunyai pandangan, idea atau cadangan tentang bimbingan dan kaunseling atau pun anda ingin berkongsi tentang pengalaman anda, boleh anda ceritakan dan berkongsi di sini..

Look but Don t Touch Game