SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG BERFIKIR KREATIF BERTINDAK AKTIF

Bimbingan dan kaunseling merupakan suatu alternatif untuk membantu, membimbing dan memberi panduan kepada individu untuk memperkembangkan potensi diri ke arah yang lebih baik. Mungkin ada antara anda semua yang mempunyai pengalaman menerima perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sama ada di sekolah atau di luar sekolah. Walaupun mungkin ada yang tidak pernah menerima perkhidmatan bimbingan dan kaunseling tetapi tentunya anda mempunyai idea dan pandangan sendiri berkaitan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Oleh itu, laman blog ini memberi ruang kepada anda untuk memberi respons, pandangan dan cadangan supaya perkhidmatan bimbingan dan kaunseling akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik bersesuaian dengan keperluan masa kini.

Corak dan gaya kehidupan remaja pada masa dahulu berbeza dengan corak dan gaya kehidupan remaja pada masa kini berdasarkan perubahan dan peredaran zaman. Perkembangan dan penggunanaan teknologi menjadikan permasalahan pelajar pada masa kini berbeza dengan permasalahan pelajar mada masa dahulu. Keadaan ini menjadikan bimbingan dan kaunseling sebagai satu keperluan yang penting untuk membimbing dan membantu golongan remaha terutama pelajar supaya mereka dapat mengenal dan menggunakan potensi diri ke arah yang positif.

Sejajar dengan itu, setiap sekolah telah menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling untuk para pelajar. Kini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bukan hanya disediakan di sekolah menengah sahaja malahan sekolah rendah juga telah mula menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada para pelajar. Pada dasarnya, tugas membimbing dan membantu para pelajar menjadi tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling namun sebenarnya guru-guru lain juga boleh memainkan peranan untuk sama-sama membantu dan membimbing para pelajar. Oleh itu, kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan masyarakt amat perlu supaya bimbingan dan kausneling dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Tuesday, March 10, 2009

Ada di antara pelajar atau individu yang mempunyai pandangan atau persepsi yang tertentu terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Ada pelajar yang menganggap bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah adalah untuk mereka yang bermasalah sahaja. Jesteru pelajar tidak berminat atau tidak suka untuk berkunjung ke bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling.

Sebenarnya banyak perkara yang boleh diperoleh daripada bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling. Selain daripada mendapatkan perkhidmatan sesi kaunseling secara inidividu atau pun kelompok daripada guru bimbingan dan kaunseling para pelajar khususnya dan para pengunjung amnya boleh mendapatkan perkhidmatan lain. Para pelajar boleh mendapatkan bimbingan kerjaya daripada guru bimbingan dan kaunseling. Dengan adanya kemudahan akses internet di sekolah pada masa sekarang, para pelajar boleh mendapatkan banyak maklumat di bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling berkaitan kerjaya. Selain itu para pelajar juga boleh mendapatkan perkhidmatan inventori kerjaya. Dengan bantuan dan bimbingan guru bimbingan dan kaunseling para pelajar boleh mengisi borang inventori seterusnya mendapat maklumat berkaitan kerjaya yang sesuai dengan diri. Di samping itu juga terdapat perkhidmatan inventori berkaitan personaliti. Hasil daripada inventori personaliti ini dapat memberikan kepada pelajar maklumat tentang diri dan personaliti masing-masing.

Dengan ini para pelajar dapat melihat kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri seterusnya dapat melihat bakat dan potensi diri yang ada. Maka, para pelajar dapat meningkatkan motivasi diri ke arah mempertingkatkan diri ke arah yang lebih baik. Setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Ada kalanya seseorang itu tidak sedar tentang perkara ini dan hanya memandang kepada kelemahan sahaja, sedangkan dalam diri kita mungkin ada kekuatan dan potensi yang tidak ada pada orang lain. Jika kita tahu kekuatan kita, kita dapat menilai dan menggembelingnya untuk memajukan diri kita ke arah yang lebih positif.

Para pelajar juga boleh mendapatkan bimbingan daripada guru bimbingan dan kaunseling berkaitan akademik. Bagaimana untuk memilih jurusan yang sesuai berdasarkan minat, bakat, personaliti dan minat kerjaya masing-masing. Ada di antara pelajar yang memilih aliran atau jurusan mereka dengan sebab-sebab tertentu seperti mengikut arahan daripada ibu bapa, mengikut rakan-rakan dan sebagainya. Oleh itu, dengan adanya bimbingan daripada guru bimbingan dan kaunseling, para pelajar dapat garis panduan yang bersesuaian untuk memilih hala tuju masa depan dengan memilih jurusan dan aliran yang sesuai berdasarkan minat, bakat, personaliti dan minat kerjaya masing-masing.

Ramai pelajar yang tidak tahu atau tidak mengambil endah tentang kaedah belajar yang sesuai dan betul. Dengan berkunjung ke bilik Unit Bimbingan dan kaunseling, para pelajar boleh mendapat panduan untuk belajar secara berkesan antaranya dari aspek, bagaimana mengurus masa, perlaksaaan jadual harian, kaedah belajar yang berkesan, membuat nota yang betul, mengurus diri dengan baik dan sebagainya. Kaedah belajar yang tepat dapat membantu para pelajar belajar secara efisyen atau pun 'study smart', seterusnya dapat membantu papa pelajar membuat persediaan peperiksaan dengan baik.

Jadi, di sini sedikit sebanyak anda boleh menilai sama ada bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah adalah untuk mereka yang bermasalah sahaja atau tidak. Bilik ini adalah untuk semua warga sekolah daripada peringkat atasan iaitu peringkat pengurusan sekolah, guru-guru sehinggalah para pelajar. Setiap warga sekolah boleh mendapatkan semua perkhidmatan yang disediakan dengan dantuan dan bimbingan daripada guru bimbingan dan kaunseling.

No comments:

Post a Comment